Wednesday, January 28, 2009

Konsep Tatabahasa Wacana

Latar Belakang Wacana Bahasa Melayu

Menurut Sanat Md. Nasir (2002: 9-12), kajian wacana bahasa Melayu masih baru. Ada pendapat yang mengatakan Muhammad Yunus Maris (1966) merupakan perin-tis analisis wacana dalam bahasa Melayu dengan menggunakan teknik keperihalan keadaan untuk menerangkan penggunaan ganti nama.
Setakat yang terkumpul, Harimurti Kridalaksana (1970: 1), menulis makalah be-liau “NYA sebagai penanda anafora”. Pada tahun 1978, beliau telah menulis kertas kerja yang bertajuk “Keutuhan Wacana” dan diterbitkan sebagai artikel dalam Jurnal Dewan Bahasa. Artikel itu membahaskan keutuhan wacana sebagai salah satu aspek analisis wacana. Penelitian beliau kelihatan terpengaruh dengan aliran tagmemik dan linguistik teks. Demikianlah juga aliran tagmemik digunakan dalam Ph.D. Aja-miseba (1978).

Kerancakan penyelidikan tentang wacana bahasa Melayu berlaku dalam tahun 1980-an, iaitu sepuluh tahun selepas wacana sebagai satu disiplin rancak di Eropah dan di Amerika Syarikat. Pemaparan penyelidikan itu berupa artikel, disertasi dan buku. Asmah (1980a dan 1980b) telah menulis dua buah artikel dalam Jurnal Dewan Bahasa, yang masing-masing bertajuk “Analisis Wacana” dan “Pengajaran Bahasa untuk Kemahiran Berkomunikasi: Pendekatan Wacana”. Dalam artikel yang pertama itu, beliau telah menunjukkan penggunaan tiga jenis analisis wacana, iaitu kaedah Harris, kaedah Becker, dan kaedah Sinclair dan Coulthard. Artikel lain seperti Lufti Abas (1982) dan Soenjono Dardjowidjojo (1985).
Selain yang berbentuk artikel, penyelidikan wacana juga telah dilakukan secara serius di peringkat latihan ilmiah, sarjana dan kedoktoran. Daripada bibliografi la-tihan ilmiah yang diusahakan oleh Ismail (1994) dari tempoh 1977 hingga 1994, di-dapati latihan ilmiah yang berkaitan dengan wacana hanya muncul mulai tahun 1984. Terdapat 14 buah latihan ilmiah tentang kajian wacana sejak tahun tersebut hinggalah tahun 1989.

Penelitian di peringkat sarjana sepanjang tempoh tahun 1980-an setakat yang terkumpul ialah Sucipto (1987) dan Wong (1988). Sucipto melihat unsur tautan ma-nakala Wong, kesinambungan topik.
Di peringkat disertasi kedoktoran pula, termasuklah Abdul Aziz Idris (1982), Fa-rrerty (1982), Azhar M. Simin (1983), dan Tallei (1988). Abdul Aziz berfokus pada as-pek struktur tema dan sistem hubungan logikal dalam teks pendedahan bahasa Me-layu dan Inggeris. Rafferty pula melihat struktur wacana bahasa Indonesia yang dituturkan oleh orang Cina di Malang, Indonesia. Azhar pula meneliti sintaksis wa-cana yang dalam bahasa Malaysia sedangkan Tallie, dengan menggunakan pendeka-tan analisis wacana, cuba mengkaji keterpaduan, keruntutan, dan keterbacaan waca-na buku pelajaran bahasa Indonesia di peringkat sekolah dasar.
Penelitian wacana sepanjang tahun 1980-an dalam bentuk buku dan sebahagian daripada buku dapat dilihat seperti dalam Asmah (1987: 108-127) tentang teks sainti-fik, Tarigan (1987) Pengajaran Wacana dan Tata Bahasa Baku Bahasa Indonesia (1988: 334-360).

Dekad awal 1990-an diperteguh dengan kerancakan penelitian tentang wacana bahasa Melayu seperti yang ditunjukkan oleh peneliti berikut. Sato (1991) meng-hasilkan tesis Ph.D. dengan tajuk “Analisis Nahu Wacana Bahasa Melayu Klasik Berdasarkan Teks Hikayat Hang Tuah”. Tumpuan beliau pada hubungan antara su-sunan ayat yang logikal dengan susunan maklumat. Perhatian juga diberikan ter-hadap analisis tetenunan dalam ayat yang berkaitan dengan hubungan tersebut.
Soeseno (1992) dalam syarahan perdana sempena pengukuhan beliau sebagai profesor telah memilih tajuk “Analisis Wacana dan Penerapannya”. Dalam syarahan itu, beliau secara meluas menyentuh topik-topik seperti analisis wacana sebagai ca-bang ilmu bahasa, perbezaan antara wacana lisan dengan tulisan, konteks situasional, prinsip interpretasi lokal dan analogi, implikatur, presuposisi, inferensi, referensi, pronominal, kohesi, koherensi dan pengetahuan tentang dunia. Di hujung syarahan beliau itu, ada dimuatkan contoh-contoh analisis wacana.

Manakala peneliti lain yang menghasilkan artikel atau kertas kerja, seperti Sam-suri (1992), Ramlan (1992), Ebah (1992), Wong (1992;1993), Sanat (1992;1994;1995a dan 1995b;1996a dan 1996b), Dede Oetomo (1993), Ismail (1993;1994) dan Zahrah (1995).
Jika ditinjau dari segi penghasilan latihan ilmiah dalam bidang ini bagi tempoh 1990 hingga 1994 di Malaysia, terdapat 17 buah, iaitu 15 buah dari Jabatan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan dua buah dari Rancangan Bahasa Melayu, Universiti Malaya. Dua buah latihan ilmiah itu terdiri daripada Hasnah (1994), “Analisis Tautan dalam Wacana Bahasa Melayu” dan Tan (1994), “Tautan dalam Ba-hasa Melayu”. Kedua-dua latihan ilmiah tersebut menggunakan kerangka Halliday dan Ruqaiya Hasan (1976).

Seperti yang telah dinyatakan di atas, wacana sebagai bidang kajian dalam pene-litian bahasa Melayu masih baru. Hal ini berlaku kerana beberapa sebab. Antaranya, wacana sebagai satu disiplin hanya berlaku pada tahun 1970-an di Eropah dan di Amerika Syarikat. Biasanya, kesannya akan memakan waktu antara 5 hingga 10 tahun untuk sampai ke sini. Pada waktu yang sama, aliran transformasi generatif yang dipelopori Chomsky masih kuat bertapak sehingga kebanyakan ahli bahasa kita yang belajar di peringkat kedoktoran dalam tempoh itu telah terpengaruh dengan aliran tersebut. Selain itu, kajian wacana sebagai mata kursus peringkat sarjana muda di universiti tempatan masih belum menyeluruh. Lufti, Sanat dan Nuwairi (1985) telah membuat tinjauan tentang pengajaran linguistik di Malaysia dari segi konsep dan aliran, dan didapati hanya Jabatan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia yang ada menawarkan kursus tersebut. Bahkan, kursus itu pun dianggap umum sebab sekadar menyatakan topik tentang teori sintaksis yang boleh dilihat daripada aliran lain yang bukan wacana, seperti tranformasi generatif.

Pada awal tahun 1990 diberitahu bahawa di IKIP Malang, Unika Atma Jaya dan di Universitas Indonesia di Indonesia masih belum ada kursus seumpama itu di peringkat ijazah pertama. Demikian juga di Jabatan Pengajian Melayu, National University of Singapore. Sebaliknya, Pengajian Bahasa Malaysia, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia sudah menawarkan kursus “Analisis Wacana” di peringkat ijazah dasar bagi sesi 1989/90. Di Rancangan Bahasa Melayu, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya kursus tersebut hanya dapat dimulakan pada sesi 1993/94 dengan tajuk “Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu”. Jabatan Pengajian Melayu, Fakulti Bahasa Moden, Universiti Pertanian Malaysia belum lagi menawarkan kursus yang seumpama itu pada sesi 1995/96.

No comments: